NADWAH KEBANGSAAN @NKI #2017
- Feb 21, 2017
- 2 min read
25-27 FEBRUARI 2017-
Sekolah Tun Fatimah telah menghantar seramai 10 orang wakil BADAR yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 dan diiringi oleh Ustazah Nik Kasma.Para peserta bertolak pada jam 8.40 pagi dan tiba di destinasi pada jam 12.40 tengah hari.
Hari pertama,Para peserta mengikuti slot pertama iaitu ‘Taaruf dan Team Building’ setelah menikmati makan tengah hari yang diadakan di dewan. Para peserta telah dibahagikan kepada 16 kumpulan yang terdiri daripada 10 peserta dari sekolah yang berbeza.Pada jam 5.00 petang, para peserta mengikuti slot ‘Riadah’ dan aktiviti riadah yang pertama merupakan aktiviti membina menara menggunakan belon.Setelah makan malam,para peserta berkumpul di dewan bagi mendengar ucaptama NKI 2017 yang disampaikan oleh pengetua SBPI Selandar.Seterusnya, para peserta mengikuti slot muhasabah kepemimpinan berdasarkan sebuah kisah tentang seorang pemuda dan madu mengikut kumpulan masing-masing .Para peserta mengakhiri hari pertama dengan bacaan al-Mulk dan doa bersama-sama di surau.
Hari kedua,Para peserta bangun seawal jam 4.30 pagi bagi bersiap sedia untuk menjalani Qiamulail, menunaikan solat Subuh dan mendengar forum yang disampaikan oleh wakil sekolah yang dipilih.Seterusnya, para peserta menikmati sarapan pagi dan diteruskan dengan slot ‘Idolaku’ dan ‘Best Practices’ di mana para peserta perlu mencipta slogan daripada sifat idola masing-masing.Kemudiannya para peserta bergerak ke dewan untuk mendengar bicara Qiyadi yang disampaikan oleh alumni SBP yang kini merupakan seorang pensyarah.Pada jam 5.00 petang, para peserta mengikuti slot ‘Riadah’ dan aktiviti riadah yang kedua ialah permainan tumpuan dan kerjasama menggunakan bola serta diikuti dengan makan malam.Pada sebelah malamnya, para peserta berkumpul di dewan untuk mendengar sedikit taklimat mengenai pengurusan instrumen BADAR terbilang yang disampaikan oleh seorang ustaz dari Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar.Slot yang terakhir pada hari kedua merupakan slot ‘Isu dan Cabaran Masa Kini’ di mana para peserta diminta untuk mengulas mengenai isu dalam organisasi BADAR.Hari kedua ditamatkan dengan bacaan al-mulk dan doa secara berjemaah di surau.
Hari Ketiga,Para peserta bangun seawal jam 4.30 pagi bagi menunaikan qiamulail, solat subuh secara berjemaah dan mendengar sebuah forum yang disampaikan oleh wakil sekolah yang dipilih yang bertajuk ‘Remaja dan Cinta’.Pada jam 7.00 pagi, para pelajar mengambil sarapan pagi dan dikehendaki berada di dewan tepat pada jam 8.00 pagi dengan berpakaian lengkap uniform sekolah beserta blazer bagi slot ‘Pengurusan BADAR SBP’.Bagi slot ini, para peserta perlu berkumpul mengikut sekolah masing-masing dan berbincang mengenai kelebihan, kekurangan, peluang dan ancaman yang terdapat dalam organisasi BADAR sama ada daripada pihak luar mahupun dalam.Pada jam 9.00 pagi, slot ‘Pelan Tindakan’ pula dijalankan iaitu para peserta perlu menjana idea untuk mencipta 3 buah program BADAR yang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.Kemudian, presiden BADAR atau wakil BADAR setiap sekolah dikehendaki untuk membentangkan 3 buah program tersebut di khalayak ramai agar para fasilitator dan guru dapat memberi ulasan mereka terhadap program tersebut.Pada jam 12.00 tengah hari, slot ini pun berakhir dan program ini diteruskan lagi dengan majlis penutupan ‘Nadwah Kepemimpinan Islam’ bagi tahun 2017.Beberapa buah ucapan telah disampaikan oleh wakil peserta, wakil Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan pengetua Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) selaku pengelola dan penganjur program.Seterusnya, penyampaian cenderamata kepada wakil YADIM dan para fasilitator serta penyampaian sijil kepada semua peserta ‘Nadwah Kepemimpinan Islam’ bagi tahun 2017.Satu sesi bergambar telah diadakan dan para peserta dibenarkan untuk pulang ke sekolah masing-masing.













Comments